Langkau ke kandungan
← Daulat Pedang
Tetapan Bacaan

Buku Pertama: Kebangkitan

Bab 1: Si Penyapu Muda

Perguruan Pedang berdiri di Banjaran Hampa, membelakangi Banjaran Laksa dan menghadap ke selatan, ke arah Empayar Nusa Raya. Sebagai salah sebuah perguruan besar yang tersohor di wilayah selatan, perguruan itu menguasai banjaran yang terbentang lebih lima ratus kilometer. Tujuh puncak utama dan tiga puluh enam puncak kecil menjulang di situ.

Salah satu puncak kecil itu dinamakan Puncak Bakti, tempat tinggal murid suruhan. Walaupun sekadar menempatkan golongan paling bawah dalam perguruan, kawasan tersebut sudah menyamai sebuah kota kecil di Empayar Nusa Raya, cukup luas untuk menampung puluhan ribu orang.

Cahaya pertama baru menyingsing ketika Damar bangun, seperti biasa. Dia membasuh muka ala kadar, mengambil penyapu di belakang pintu lalu keluar dari biliknya.

Sejenak dia memandang cahaya samar di kaki langit. Udara pagi yang bersih disedutnya dalam-dalam. Wajah mudanya beransur tegang oleh tekad.

“Usaha lagi. Bertahan. Jangan menyerah.”

Suara itu perlahan, cukup untuk telinganya sendiri. Kemudian dia melangkah pantas menuju ke Lurah Bayu.

“Tengok. Bukankah itu bekas murid luaran?”

“Dialah. Bekas, kau kata. Sekarang dia murid suruhan saja. Menyapu juga, macam kita.”

“Sayangnya. Elok budaknya. Baru enam belas atau tujuh belas tahun agaknya. Pada umur begitu, macam-macam boleh dicapai. Sudahnya terperuk di sini membuat kerja rencam.”

“Aku dengar seorang guru kanan bahagian luaran mengambilnya sebagai murid di Kota Sentosa Selatan. Siapa sangka, genap setahun pun dia tak dapat menyerap tenaga batin. Guru itu naik marah lalu menurunkan tarafnya. Kononnya, sepanjang sejarah Perguruan Pedang, dialah murid luaran pertama yang jatuh menjadi murid suruhan. Sampai dapat gelaran si tak berguna nombor satu!”

“Si tak berguna nombor satu Perguruan Pedang! Bukan calang-calang nama itu.”

Langkah Damar terhenti. Jari tangan kanannya mengetat pada batang penyapu.

Dia menarik nafas panjang. Selepas itu, dia terus berjalan tanpa menoleh lagi.

Lurah Bayu terletak di belakang Puncak Bakti. Tiga buah bukit kecil mengelilingi tanah yang merendah di tengah-tengahnya. Rumput tumbuh tebal, menghijau seperti hamparan, sementara pohon-pohon tinggi merapatkan rimbun hingga sebahagian besar langit terlindung. Murid suruhan biasa datang ke situ untuk mencari herba dan mengutip kayu. Di situ jugalah Damar berlatih.

Sebaik-baik tiba di sebuah batu besar, dia mencampakkan penyapunya ke tepi lalu duduk bersila di atas batu itu. Dari dalam baju, dia mengeluarkan sepucuk surat dan sebuah patung tanah liat yang kecil.

Surat dari rumah itu diterimanya malam tadi. Namun, hampir enam belas jam dia bekerja semalam. Membacanya pun tidak sempat.

Senyum lembut muncul di wajah Damar apabila dia memandang patung di tangannya. Buatannya kasar dan tidak seberapa kemas, tetapi mata, hidung dan mulutnya masih jelas. Adik perempuannya membuat patung itu dengan meniru wajahnya. Tidak begitu serupa, sebenarnya. Namun, bagi Damar, tiada barang yang lebih berharga.

Dia mengusap patung itu beberapa ketika sebelum menyimpannya semula di balik baju. Kemudian ditiupnya debu pada sampul surat. Kertas di dalamnya dikeluarkan dengan cermat.

“Abang,

“Duit emas yang abang kirim bulan lalu sudah kami terima. Sejak abang diambil menjadi murid luaran Perguruan Pedang, jiran-jiran yang dulu pandang rendah pada kita asyik datang bertandang. Huh! Suri tahu. Mereka berbaik dengan Suri dan mak sebab abang sudah jadi orang. Semuanya pandang kedudukan saja.”

Damar menarik nafas. Hujung bibirnya terangkat sedikit, tetapi senyum itu segera terasa pahit.

“Murid luaran…”

Lama juga sebelum dia dapat menekan rasa tidak berdaya dan kecewa yang bergolak dalam dadanya. Akhirnya, dia menunduk semula kepada surat itu.

“Satu lagi, orang keluarga Sura itu memang menyakitkan hati. Mereka datang meminang kepada mak. Mereka hendak jadikan Suri gundik anak lelaki mereka yang gemuk itu. Beratnya seratus lima puluh kilogram! Berjalan pun tak boleh. Tengok dia saja Suri sudah hilang selera makan, ini pula hendak suruh Suri jadi gundiknya. Mujur mak tak setuju!

“Kalau Suri hendak kahwin pun, Suri hendak kahwin dengan… dengan abang. Aduh, malunya! Abang jangan ketawa. Ketawa dalam hati pun tak boleh!”

“Keluarga Sura.”

Pandangan Damar mengeras.

Keluarga itu berpengaruh besar di Kota Sentosa Selatan. Dahulu, ketua keluarga Sura pernah mahu mengambil ibunya sebagai gundik. Ibunya lebih rela mati daripada bersetuju. Mereka pula tidak berani sampai menyebabkan kematian. Undang-undang Empayar Nusa Raya amat keras; sekalipun keluarga Sura, membunuh orang tetap boleh mendatangkan masalah kepada mereka.

Namun, mereka tidak berhenti. Bermacam-macam kesusahan ditimpakan kepada keluarga Damar, dengan harapan ibunya akhirnya akan menyerah dan masuk ke rumah mereka atas kerelaan sendiri. Hidup mereka bertambah sukar, tetapi ibunya tetap menolak.

Keadaan itu berlarutan sehingga seorang guru kanan bahagian luaran Perguruan Pedang mengambil Damar sebagai murid luaran. Sejak itu barulah keluarga Sura berasa gentar sedikit dan tidak berani bertindak sesuka hati.

Dia tidak menyangka bahawa sekarang mereka mengalihkan sasaran kepada adiknya pula.

“Aku mesti jadi kuat. Mesti.” Kedua-dua tangannya tergenggam. “Aku mesti jadi murid luaran semula.”

Sekiranya berita tentang kejatuhan tarafnya sampai ke Kota Sentosa Selatan, keluarga Sura tentu tidak akan berlengah lagi. Keselamatan ibu dan adiknya akan terancam.

Damar melipat dan menyimpan surat itu, kemudian turun dari batu besar. Dia menarik sebatang dahan di pangkal batu. Di bawahnya tersimpan empat gelang besi hitam.

Sepasang disarungkannya pada kedua-dua lengan, sepasang lagi pada buku lali. Berat besi itu segera menarik tubuhnya ke bawah. Mujur, setelah setahun menempa tubuh, dia sudah biasa menanggung beban tersebut.

Dia menghampiri sebatang pokok besar. Kedua-dua kakinya menghentak tanah, melontarkan tubuhnya ke atas. Tangannya menyambar dahan lalu berpaut kuat. Dengan kekuatan lengan, dia mengangkat tubuh, menurunkannya, kemudian mengangkatnya lagi.

Setiap kali naik dan turun, tubuhnya dibentuk dalam kedudukan yang ganjil. Gerakan itu mengerjakan seluruh ototnya serentak.

Itulah Kaedah Tempa Raga yang diterimanya ketika mula menjadi murid luaran. Bukan ilmu istimewa pun. Setiap murid luaran mendapat kaedah yang sama. Tujuannya untuk menguatkan tubuh; apabila urat dan tulang sudah cukup terlatih, tubuh akan menyerap sekelumit tenaga batin. Dengan tenaga itulah seseorang mula menjadi pengamal tenaga batin yang sebenar.

Damar pernah berlatih menurut kaedah itu selama setengah tahun tanpa berjaya menghasilkan walau sekelumit tenaga batin. Kerana itulah dia diturunkan menjadi murid suruhan, golongan paling rendah di Perguruan Pedang.

Belum pernah seorang murid luaran mengalami nasib begitu sepanjang sejarah perguruan. Maka melekatlah gelaran yang cukup masyhur padanya: si tak berguna nombor satu sepanjang zaman.

Lebih buruk lagi, namanya dijadikan contoh oleh guru-guru kanan untuk menegur murid luaran yang malas atau sambil lewa.

“Kau hendak jadi Damar yang kedua?”

Orang lain mungkin sudah lama meninggalkan perguruan dan kembali menjalani kehidupan orang biasa. Damar memilih untuk tinggal. Dia sanggup menjadi murid suruhan.

Dia tidak mahu mengecewakan ibu dan adiknya.

Dialah harapan mereka. Sejak dia menjadi murid luaran, orang tidak lagi berani membuli mereka seperti dahulu. Sejak itulah ibu dan adiknya dapat merasai hidup yang sedikit lebih senang.

Kalau dia pulang, semuanya akan berubah.

Nafasnya mula berbunyi keras dalam kesunyian lurah. Peluh mengalir masuk ke mata, memedihkan pandangan. Damar memejam rapat dan membiarkan peluh dari dahinya terus membasahi muka.

Seluruh tubuhnya kebas dan lesu. Kedua-dua lengan terasa seperti diperbuat daripada timah, berat dan sukar digerakkan. Pada ketika itu, orang lain tentu sudah berhenti untuk berehat.

Dia mengetap gigi, mengukuhkan pautan pada dahan, lalu terus mengangkat dan menurunkan tubuhnya.

Lama-kelamaan, mukanya menjadi merah padam. Peluh mencurah dari dahi. Baju hijau murid suruhan yang dipakainya sudah lencun, dan kepalanya berpinar kerana tubuh dipaksa melampaui batas.

Akhirnya, pegangannya terlucut.

Tubuh Damar menghempas tanah.

Dia terlentang, tercungap-cungap. Hendak menggerakkan sebatang jari pun dia tidak berdaya.

Cahaya kian merekah di kaki langit. Pohon-pohon yang tadi samar mula kelihatan jelas. Angin sejuk menyapu lurah, dan Damar menyedut udara dengan rakus.

Tiba-tiba dia bingkas duduk.

Matanya terbeliak. Sukar untuk dia mempercayai apa yang sedang dirasainya.

Tenaga batin.

Dia benar-benar dapat merasakan tenaga batin!

Aliran yang amat halus itu bergerak terputus-putus melalui saluran tenaga dalam tubuhnya, perlahan-lahan menuju ke pusat tenaga. Lemah, hampir tidak terasa, tetapi tetap ada.

‘Eh? Apa sudah jadi?’

Sebaik-baik memasuki pusat tenaganya, aliran itu lenyap. Hilang begitu sahaja, seolah-olah tidak pernah wujud.

Damar mengerutkan dahi. Dia menumpukan perhatian, mencari-cari aliran tadi di dalam tubuhnya.

Tidak lama kemudian, matanya terbuka luas sekali lagi.

‘Aku… aku ada dua pusat tenaga?’

Dia menelan liur.

Tenaga itu sudah ditemuinya. Malah, yang ditemuinya bukan sekadar kelumit lemah yang dirasai tadi. Jauh di bahagian paling dalam pusat tenaganya terdapat sebuah pusaran kecil, sarat dengan tenaga batin.

Barulah dia mengerti. Selama ini, bukannya dia tidak dapat menyerap tenaga. Setiap kali tenaga batin masuk ke dalam tubuhnya, pusaran kecil itu terus menyedutnya. Pusaran tersebut tersembunyi begitu jauh di dalam pusat tenaganya sehingga tidak pernah disedarinya. Kalau dia tidak menjejaki aliran tadi, mungkin sampai bila-bila pun dia tidak akan menemuinya.

Sekarang pusaran itu sudah penuh. Sebab itulah sekelumit tenaga terdesak keluar ke dalam pusat tenaganya yang biasa dan dapat dirasainya buat kali pertama.

Namun, entah mengapa, pusaran kecil itu menyedutnya semula dengan paksa. Sedikit pun tidak ditinggalkan di dalam pusat tenaga yang biasa.

Setahu Damar, setiap orang hanya mempunyai satu pusat tenaga. Dia tidak tahu sama ada ada orang lain yang mempunyai dua pusat tenaga sepertinya.

Tetapi satu perkara sudah pasti baginya.

Dia bukan manusia yang tidak berguna. Dia boleh menempa diri.

Senyum kecil terbit di hujung bibirnya. Perlahan-lahan senyum itu melebar. Tawa halus terlepas dari kerongkong, kemudian menjadi semakin kuat, sehingga akhirnya dia ketawa sepuas-puasnya di tengah lurah.

“Aku, Damar, boleh jadi pengamal tenaga batin! Aku boleh!”

Dia ketawa sehingga air mata mengalir, lalu menangis seperti kanak-kanak.

Sudah terlalu banyak siang dan malam dilaluinya dengan suatu beban yang tidak kelihatan menekan bahu. Dia tidak pernah menyerah, tetapi beban itu tetap ada.

Dia tidak takut diejek. Tidak takut dipanggil manusia tidak berguna atau dipandang hina.

Yang ditakutinya ialah harapan ibu dan adiknya akan hancur.

Dia takut mereka akan dihina oleh jiran-jiran seperti dahulu. Takut mereka terpaksa menanggung lapar sekali lagi.

Dia takut. Sungguh-sungguh takut.

Kini dia mempunyai peluang untuk menghalang semua itu daripada berulang. Asalkan dia menguasai Kaedah Tempa Raga hingga ke peringkat tertinggi dan mencapai tingkat keenam Alam Insani, dia boleh menjadi murid luaran semula. Sebagai murid luaran, dia akan memperoleh bekalan untuk latihan, kaedah penempaan diri serta ilmu pedang. Dari situ, terbuka pula peluang menjadi murid dalaman.

Kalau dia berjaya menjadi murid dalaman, bahkan gabenor Kota Sentosa Selatan pun perlu melayannya dengan hormat.

Cahaya matahari menembusi rimbun lalu menyinari mukanya yang masih basah dengan peluh. Wajah itu kelihatan kemerah-merahan dalam cahaya pagi.

“Kenapa dulu aku tak pernah nampak tempat ini secantik sekarang?”

Damar tersenyum. Diredakannya kegembiraan yang masih bergelora di dada, kemudian disapu peluh pada mukanya. Dia menanggalkan gelang-gelang besi dan menyimpannya kembali di pangkal batu besar.

Selepas mengambil penyapu, dia berlari ke arah pintu masuk lurah.

Dia masih ingat tugasnya hari ini.

Gelanggang latihan Perguruan Pedang belum disapunya.

Laporkan kesilapan

Log masuk dan sahkan e-mel untuk menghantar laporan.

Ulasan pembaca

Log masuk dan sahkan e-mel untuk mengulas.