Tetapan Bacaan
Buku Pertama: Kebangkitan
Bab 2: Belasah Sampai Mati!
Gelanggang latihan di Puncak Bakti terbentang luas, dengan panjang dan lebar masing-masing melebihi satu kilometer. Seluruh permukaannya diturap batu putih kelabu. Binaannya sederhana, tetapi tetap tampak megah. Di tengah-tengah gelanggang, sebuah pedang batu yang amat besar berdiri menjulang.
Di situlah murid luaran biasa berlatih. Di situ jugalah Damar ditugaskan menyapu hari ini.
Mustahil dia membersihkan kawasan seluas itu seorang diri. Sekurang-kurangnya empat orang perlu bekerja keras sepanjang hari untuk menyelesaikannya.
Kalau semalam, mungkin dia akan merungut. Dengan kerja sebanyak itu, tentu tidak ada masa lagi untuk menempa diri. Namun, pagi ini hatinya penuh harapan. Semuanya terasa menyenangkan.
“Eh, bukankah ini si tak berguna nombor satu sepanjang zaman? Oh, silap. Murid luaran kita yang hebat, Damar! Awal betul bangun hari ini. Gelanggang sudah habis disapu? Hahaha!”
Damar menoleh ke kanan. Tiga orang berdiri di situ, semuanya dijadualkan bekerja bersamanya hari ini. Dia memandang wajah mereka yang mengejek tanpa menunjukkan sebarang perasaan.
Dia kenal orang yang berdiri paling hadapan. Jalak namanya. Murid suruhan juga, tetapi buruk benar perangainya. Sejak mula lagi, kerjanya diserahkan kepada orang lain.
Jalak berani berlagak begitu kerana ada bapa saudara dan sepupu yang boleh diharapkan. Bapa saudaranya, Pengurus Gani, mengetuai Bahagian Kerja dan mengurus lebih dua ribu murid suruhan Perguruan Pedang. Sepupu lelakinya pula seorang murid luaran.
Dengan sokongan kedua-dua orang itu, Jalak berbuat sesuka hati di Puncak Bakti. Orang lain dipandangnya rendah belaka.
Di sebelah kirinya berdiri Bakar, sementara di kanan ialah Leman. Kedua-duanya murid suruhan, tetapi mereka lebih dikenali dengan satu panggilan lain: kaki ampu.
Damar mengetepikan fikirannya tentang mereka.
“Semua sudah ada. Kita bahagikan kerja. Empat orang, seorang ambil satu bahagian gelanggang. Adil begitu.”
Leman ketawa terbahak-bahak sambil menuding ke arahnya.
“Abang Jalak dengar tadi? Dia hendak beri kerja kepada abang! Mati aku ketawa. Aku sangka budak ini tahu membawa diri. Rupanya bodoh!”
“Salah itu.” Bakar memasang muka bersungguh-sungguh. “Dia murid luaran yang tinggi kedudukannya. Bekas murid pun, pernah juga dia jadi orang bahagian luaran. Takkan orang begitu hendak kita suruh buat kerja hina macam ini? Betul tak, Abang Jalak?”
Leman ketawa lagi.
“Pandailah kau, Bakar. Berlapik-lapik kau sindir dia. Aku mengaku kalah. Patutlah Abang Jalak suka pada kau!”
“Mana ada,” balas Bakar, merendah diri dibuat-buat. “Aku cuma pandai bercakap. Kau pula pandai berlawan. Kalau ada orang tak tahu bahasa, kaulah yang mengajarnya. Kau orang kanan Abang Jalak.”
Kedua-duanya terus berbalas pujian. Damar memandang mereka dengan dingin dan membiarkan sahaja.
Jalak menghampirinya lalu menepuk bahunya. Mulutnya menyeringai.
“Budak, kami bertiga kurang sihat hari ini. Kau sapu seluruh gelanggang seorang diri. Boleh?”
“Tak boleh.”
Damar menepis tangan itu. Dia melangkah ke hadapan Bakar dan Leman.
“Aku tahu kamu cemburu sebab aku pernah jadi murid luaran. Dulu, di hadapan murid luaran, anjing pun lebih tinggi nilainya daripada kamu. Sekarang aku sudah jatuh jadi murid suruhan, kamu hendak pijak aku untuk dapatkan semula maruah yang hilang itu. Aku faham.”
Dia berpaling, mengambil penyapunya lalu berjalan ke arah gelanggang.
Wajah Bakar dan Leman berubah-ubah, sekejap merah menahan marah, sekejap pucat. Sindiran terus terang itu tepat mengenai mereka.
Mata Jalak pula mengecil. Wajahnya muram. Dalam kalangan hampir tiga ribu murid suruhan di Bahagian Kerja, belum pernah ada orang langsung tidak mengendahkan maruahnya begini.
Seorang kaki ampu mesti pandai membaca air muka. Melihat perubahan wajah Jalak, Leman segera memahami kehendaknya. Dia meluru ke hadapan Damar lalu menuding jari.
“Damar, kau ingat kau masih murid luaran? Setahun pun kau tak dapat capai tingkat pertama Alam Insani. Si tak berguna nombor satu sepanjang zaman! Abang Jalak suruh kau menyapu sebab dia sudi pandang muka kau. Jangan naik kepala!”
Damar berhenti.
“Aku tak berguna? Masih lebih baik daripada orang yang cuma tahu jadi anjing suruhan. Tuan kau senang hati, kau mengampu. Tuan kau marah, kau keluar menyalak pada orang.”
“Belasah dia!” bentak Jalak. “Belasah sampai mati! Aku tanggung!”
Belum pernah sesiapa di Bahagian Kerja berani menghina maruahnya begitu. Dahulu tidak, sekarang pun tidak. Dia tidak akan membiarkan seorang pun memulakannya.
Leman menyeringai bengis sebaik-baik mendengar arahan itu. Penumbuknya terus dihayun ke muka Damar.
Sudah lama dia mahu memukul budak itu, tetapi sebelum Jalak memberi arahan, dia tidak berani. Kalau sampai terbunuh orang, dia tidak sanggup menanggung akibatnya. Sekarang Jalak sendiri sudah menyuruh. Apa lagi yang hendak dirisaukan?
Air muka Damar mengeras. Dia berundur dua langkah pantas, melepasi jangkauan penumbuk Leman. Pada masa yang sama, penyapu di tangannya diangkat lalu dihayun.
Pang!
Penumbuk Leman menyambar angin. Penyapu Damar pula mengenai kepalanya.
Jeritan nyaring terlepas. Mukanya terasa pijar. Leman terundur beberapa langkah sebelum mencangkung sambil menggosok mata dengan kedua-dua tangan. Debu yang melekat pada penyapu berhamburan masuk ke matanya. Pedihnya tidak tertahan. Air mata hampir tumpah.
“Celaka!”
Jalak meluru sebaik-baik melihat Damar melawan. Wajahnya bengis. Penumbuknya dihayun ke belakang kepala Damar.
Si tak berguna ini berani mencabar dia! Selain bapa saudaranya, dialah yang berkuasa di Puncak Bakti. Semua orang mesti menurut katanya.
Damar menyedari serangan dari belakang itu. Marahnya menyala.
Dia tidak suka mencari gaduh, tetapi bukan bererti dia takut. Mula-mula mereka menghina. Kemudian mereka mahu membebankan kerja empat orang kepadanya seorang. Sekarang mereka menyerang pula.
Dia berpusing lalu menyongsong penumbuk kanan Jalak dengan penumbuknya sendiri.
Buk!
Kedua-dua penumbuk bertembung. Bunyi tulang retak menyusul.
Mata Jalak terbeliak. Kesakitan memenuhi wajahnya. Tulang tangannya patah.
Dia cuba menarik tangan itu, tetapi Damar lebih pantas. Tangan Damar beralih, mencengkam penumbuk yang sudah lemah lalu merentapnya ke hadapan. Kaki kanan Damar terus menendang perutnya.
Buk!
Jalak tercampak sejauh satu meter sebelum jatuh terhempas ke tanah.
Damar memang murid suruhan seperti mereka bertiga. Bezanya, sebaik-baik kerja harian selesai, dia tidak menghabiskan waktu berseronok atau bermalas-malasan. Segala masa yang ada digunakannya untuk menempa tubuh. Hujan atau panas, dia tidak pernah berhenti sejak mula menjejakkan kaki ke Perguruan Pedang.
Walaupun belum menjadi pengamal tenaga batin, kekuatan tubuhnya jauh mengatasi mereka.
Damar menoleh kepada Bakar yang masih berdiri di tepi.
Bakar serta-merta berundur dua langkah. Dia menggenggam tangan, cuba menahan gentar.
“Ja… Jalak itu anak saudara Pengurus Gani. Sepupunya murid luaran. Kau cederakan dia, pengurus dan sepupunya takkan lepaskan kau!”
Damar tidak menghiraukan ugutan yang bersandar pada nama orang lain itu. Dia menghampiri Jalak lalu mencangkung di sisinya. Wajah yang kini dipenuhi ketakutan itu ditepuknya perlahan.
“Sekarang kamu bertiga sapu seluruh gelanggang. Ada bantahan?”
Jalak menelan liur. Dia masih teragak-agak, tetapi sebaik-baik melihat tangan Damar mula tergenggam, dia segera menjawab.
“Tak ada. Tak ada bantahan. Sekarang juga kami sapu!”
Jangan melawan apabila diri tidak mampu. Itulah yang pernah diajar oleh bapa saudaranya. Sekarang barulah petua itu berguna.
Damar memandangnya sekilas, kemudian bangun. Penyapu disandarkan pada bahu sebelum dia melangkah pantas menuju ke Lurah Bayu.
Dia tahu perkara ini belum selesai. Jalak pasti akan mencarinya lagi. Kalau tidak berani datang sendiri, tentu bapa saudara atau sepupunya yang murid luaran itu akan dibawa bersama.
Setakat ini, dia hanya mempunyai tubuh yang agak kuat. Dia masih belum menjadi pengamal tenaga batin. Melawan seorang murid luaran sekarang, dia langsung tidak mampu.
Kalau mahu melindungi diri, dia mesti berlatih lebih keras dan menjadi pengamal tenaga batin secepat mungkin. Jika murid luaran itu datang sebelum dia bersedia, melawan pun dia tidak akan berdaya.
Latihannya mesti dipertingkat.
“Apa kita hendak buat, Abang Jalak?” tanya Leman perlahan sambil membantu Jalak bangun.
Sekarang dia sudah sedar bahawa dia bukan tandingan Damar. Mencari pasal dengan budak itu sama sahaja dengan meminta dipukul.
Bakar membisu di sebelah mereka. Ketegasan dan kekerasan Damar bertindak tadi membuatnya gentar.
“Tunggu sepupu aku balik daripada melawat saudara di luar perguruan,” kata Jalak. “Nanti aku buat dia menyesal!”
Matanya mengekori Damar yang semakin jauh, penuh dendam.
Lima tahun. Sudah lima tahun dia menjadi murid suruhan, dan sepanjang waktu itu belum pernah seorang pun memperlakukannya begini. Berani pula mengangkat tangan terhadapnya.
Dendam dalam pandangannya semakin pekat.
* * *
“Kamu nampak tadi? Si tak berguna nombor satu itu… eh, Damar. Dia belasah tiga orang bedebah itu!”
“Apa? Betulkah? Jalak kena pukul?”
“Kau jangan menipu. Bapa saudara Jalak itu Pengurus Gani. Sepupunya murid luaran. Budak suruhan bernama Damar itu berani pukul dia?”
“Buat apa aku hendak menipu? Aku tengok dengan mata sendiri. Jalak dengan dua kaki ampunya itu buat perangai biasa. Tak mahu bekerja, suruh Damar sapu gelanggang seorang diri. Damar tak mahu. Mereka pun serang dia. Siapa sangka, mereka pula yang kena belasah! Sekarang bahagian kerja Damar pun mereka yang buat.”
“Hahaha! Bagus! Selama ini Jalak asyik bergantung pada bapa saudara dan sepupunya untuk membuli kita di Puncak Bakti. Sekarang baru dia bertemu lawan. Mari, kita beritahu yang lain. Biar mereka tumpang gembira!”
Tidak lama kemudian, cerita Damar membelasah Jalak tersebar ke seluruh Puncak Bakti.
Damar sendiri sudah pun tiba di Lurah Bayu.

Ulasan pembaca
Log masuk dan sahkan e-mel untuk mengulas.