Tetapan Bacaan
Bab 1: Untuk Terus Hidup
Bulan ketiga dalam takwim bulan. Di suatu pelosok timur Benua Cenderawasih Selatan, langit kelam menekan bumi.
Awan berlapis-lapis, kabur dan hitam seperti dakwat yang tertumpah. Kilat merah menyambar di celahnya. Guruh menyusul, bergulung ke segenap penjuru, seolah-olah dewa sedang melolong di atas alam manusia.
Hujan berwarna darah turun ke sebuah kota yang telah musnah.
Di balik temboknya yang pecah, tiada tanda kehidupan. Bangunan runtuh bertimbun di sana sini. Mayat berkulit hitam kehijauan tersadai antara cebisan daging. Jalan yang dahulunya sesak dengan orang kini sepi; yang tinggal cuma tanah, kertas koyak dan tubuh yang hancur, semuanya lumat menjadi lumpur berdarah.
Sebuah pedati kuda terbalik di tengah jalan. Rodanya terbenam dalam lumpur, badannya hampir berkecai. Pada gandarnya tersangkut anak patung arnab, terbuai-buai ditiup angin. Bulu putihnya telah merah. Sepasang mata yang kusam itu menghadap batu jalan yang berlumuran darah, seolah-olah menyimpan dendam.
Tidak jauh dari pedati, seorang budak lelaki terbaring.
Usianya dalam lingkungan tiga belas atau empat belas tahun. Pakaiannya koyak dan kotor. Sebuah uncang kulit binatang terikat pada pinggangnya.
Dia tidak bergerak. Matanya hampir terpejam. Angin menyusup melalui koyakan baju, merampas sedikit demi sedikit kehangatan tubuhnya. Apabila titis hujan mengenai muka, kelopak matanya bergetar. Di baliknya, sepasang mata yang tajam sedang memerhatikan sesuatu.
Kira-kira dua puluh meter di hadapan, seekor burung hering kurus merobek bangkai anjing liar. Sekali-sekala burung itu mengangkat kepala, meninjau sekeliling.
Runtuhan ini berbahaya. Sedikit sahaja gerakan yang mencurigakan, hering itu akan terbang menyelamatkan diri.
Budak itu terus menunggu.
Akhirnya, burung tersebut menyusupkan kepalanya jauh ke dalam rongga dada bangkai anjing.
Budak itu bingkas. Dia meluru sambil mencabut sebatang pencucuk besi hitam dari uncangnya. Hujung besi itu berkilau dingin.
Entah kerana kilauan itu, entah kerana bahaya yang dapat dirasainya, hering tersebut tiba-tiba mengibas sayap. Tubuhnya terangkat dari tanah.
Terlambat.
Tanpa perubahan pada wajah, budak itu melemparkan besinya.
Pencucuk hitam membelah hujan lalu menembusi kepala hering. Tengkoraknya pecah. Daya lemparan itu membawa tubuh burung tersebut hingga terhentak pada pedati.
Anak patung arnab bergoyang.
Budak itu bergegas mendapatkan buruannya. Dia mencabut besi yang terbenam pada pedati; serpihan kayu turut tercabut bersamanya. Setelah mengambil burung dan senjatanya, dia beredar tanpa menoleh.
Angin bertambah kencang. Anak patung yang berlumuran darah itu seakan-akan memerhatikannya pergi.
Hujan terasa semakin dingin pada tubuhnya. Dia membongkok sedikit dan merapatkan baju yang koyak ke dada. Suatu rungutan pendek terlepas dari kerongkong.
Dia benci kesejukan.
Dalam cuaca begini, selalunya dia mencari lindungan. Tetapi hari ini dia tidak boleh berhenti. Dia menyusuri deretan kedai yang rosak dengan langkah pantas.
Masa semakin suntuk. Memburu hering tadi mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkanya, sedangkan masih ada tempat yang mesti disinggahi sebelum malam.
‘Tak jauh lagi.’
Mayat hitam kehijauan memenuhi jalan di hadapan. Pada wajah-wajah kaku itu masih tertinggal kemarahan dan putus asa. Seolah-olah kematian mereka mahu menarik sesiapa yang melintas ke dalam keputusasaan yang sama.
Budak itu sudah biasa melihatnya. Dia lalu tanpa mengendahkan mayat-mayat tersebut.
Sebaliknya, dia kerap mendongak. Langit yang semakin gelap lebih meresahkannya daripada segala tubuh yang bergelimpangan di jalan.
Apabila sebuah kedai ubat kelihatan di hadapan, barulah nafasnya terasa sedikit lapang. Dia segera masuk.
Kedai itu kecil. Laci-laci penyimpan ramuan tercampak dari almari, berselerak di lantai. Bau ubat bercampur kulapuk memenuhi ruang, hapak seperti kubur yang baru dibuka.
Di suatu sudut, mayat seorang lelaki tua tersandar pada dinding. Kulitnya hitam kehijauan. Matanya masih terbuka, memandang kosong.
Budak itu meninjau sekeliling, kemudian mula menyelongkar.
Kebanyakan ramuan tumbuhan di situ sudah berubah warna seperti mayat-mayat di luar. Hanya sedikit yang masih kelihatan biasa. Dia meneliti ramuan yang belum tercemar itu satu demi satu, cuba mengingat kegunaannya.
Akhirnya dia mengenal pasti sejenis tumbuhan untuk merawat luka hirisan.
Dia menanggalkan bajunya.
Pada dadanya ternganga suatu luka yang belum sembuh. Tepi luka itu mula menghitam, dan darah masih merembes keluar.
Setelah melumatkan ramuan tersebut, dia menarik nafas panjang lalu menyapukannya pada luka.
Pandangan matanya terus berpinar.
Seluruh tubuhnya menggigil. Lututnya hampir terlipat, tetapi tangannya terus bergerak, memaksa lumatan ubat menutupi bahagian yang terluka. Peluh timbul pada dahi, mengalir di pipi lalu menitik ke lantai, meninggalkan tompok-tompok gelap.
Kira-kira sepuluh tarikan nafas kemudian, luka itu selesai disapu.
Tenaganya habis. Dia bersandar pada almari ubat, membiarkan nafasnya reda sebelum menyarungkan baju semula.
Dia menjeling ke luar. Langit masih menggelap.
Dari dalam uncang, dia mengeluarkan sekeping peta lusuh dan membukanya dengan cermat. Peta ringkas itu menunjukkan kota tempatnya berada. Kedai ubat ini turut ditandai. Banyak kawasan di bahagian timur laut sudah dipangkah, seakan-akan digores dengan kuku. Tinggal dua kawasan sahaja yang belum dipangkah.
‘Dah berhari-hari aku cari. Sekurang-kurangnya, sekarang aku tahu benda itu ada di salah satu daripada dua kawasan ini.’
Dia melipat peta, menyimpannya dan bergerak ke pintu.
Namun, sebelum keluar, dia berhenti. Matanya kembali kepada mayat lelaki tua di sudut kedai.
Lebih tepat lagi, kepada pakaian mayat itu.
Lelaki tersebut memakai baju luar daripada kulit yang baik mutunya. Sebahagian besarnya masih elok.
Budak itu berfikir sejenak, kemudian menghampiri mayat tersebut. Dia menanggalkan baju kulit itu lalu memakainya sendiri. Baju tersebut agak besar, tetapi sekurang-kurangnya tubuhnya kini terasa hangat.
Dia menunduk memandang lelaki tua itu.
Sesudah beberapa ketika, dia melutut dan merapatkan kelopak mata yang terbuka.
“Berehatlah,” katanya perlahan, dengan suara serak.
Dia merentap sehelai tirai dari dinding, menyelimutkannya pada mayat itu, kemudian keluar.
Di luar kedai, sesuatu berkilau dalam lumpur. Sebuah cermin sebesar tapak tangan terbenam separuh di situ.
Dia menunduk.
Wajah yang terpantul penuh kotoran. Namun, kotoran itu tidak dapat menyembunyikan rautnya yang halus dan tampan. Yang tiada pada wajah tersebut ialah kepolosan seorang budak seusianya. Sebagai gantinya, hanya kedinginan yang sukar ditembusi.
Lama dia memandang pantulan itu.
Kemudian dia mengangkat kaki dan memijak cermin tersebut.
Prak.
Dia berlari meninggalkan serpihan-serpihan itu.
Walaupun telah pecah, cermin tersebut masih memantulkan cahaya langit. Di atas sana, menaungi dunia dan segala yang hidup di dalamnya, tergantung separuh wajah suatu dewa.
Wajah yang tidak utuh itu kelihatan acuh tak acuh. Matanya tertutup. Rambut terurai di sekelilingnya. Kehadirannya di langit sudah menjadi sebahagian daripada dunia ini, sebagaimana matahari dan bulan.
Di bawah wajah itu, segala makhluk tidak lebih daripada serangga. Hidup dan nasib mereka bergantung pada kehendaknya.
Cahaya siang semakin surut.
Ketika matahari tenggelam, bayang-bayang merebak di celah runtuhan, menyelubungi tanah di sekeliling seolah-olah hendak menelannya.
Hujan bertambah lebat.
Dalam angin yang semakin kuat, kedengaran ratapan nyaring. Bunyinya seperti tangisan hantu yang menyeru makhluk-makhluk puaka supaya bangun dari persembunyian. Suara itu meremangkan bulu roma, menggoncang hati sesiapa yang mendengarnya.
Budak itu berlari semakin laju.
Ketika melintasi sebuah rumah yang roboh, dia hampir sahaja melepasinya apabila terlihat sesuatu di kejauhan.
Seorang lelaki tersandar pada tembok.
Pakaiannya bagus. Tiada kecederaan yang kelihatan pada tubuhnya. Lebih penting lagi, kulit lelaki itu berwarna biasa.
Bukan hitam kehijauan.
Di tempat seperti ini, bukankah hanya orang yang masih hidup mempunyai kulit begitu?
Sudah lama budak itu tidak melihat manusia lain yang bernyawa. Penemuan tersebut membuat hatinya tersentak. Kemudian suatu fikiran melintas. Nafasnya bertambah berat.
Dia mahu menghampiri lelaki itu, tetapi kegelapan semakin mengejar dari belakang.
Sesudah teragak-agak sejenak, dia memastikan tempat tersebut terpahat dalam ingatan, lalu berlari pergi.
Tepat sebelum malam menelan kota, dia tiba di tempat perlindungannya.
Gua itu sangat kecil. Bulu burung berselerak di dalamnya. Satu-satunya jalan masuk ialah rekahan batu yang terlalu sempit untuk dilalui orang dewasa. Tubuhnya sendiri pun hanya muat-muat untuk menyelit masuk.
Setelah berada di dalam, dia menyumbat rekahan itu dengan buku, batu dan barang-barang lain.
Sebaik-baik sahaja lubang masuk tertutup, di luar menjadi gelap sepenuhnya.
Dia masih belum berani berehat.
Dengan pencucuk besi digenggam erat, dia mencangkung dan memperlahankan nafas, mendengar. Tidak lama kemudian, raungan binatang yang telah berubah bentuk berselang-seli dengan hilai makhluk puaka.
Beberapa raungan kedengaran semakin dekat.
Tubuhnya menegang.
Namun, bunyi itu bergerak melewati gua, kemudian beransur jauh. Barulah dia melepaskan nafas yang tertahan.
Dia duduk. Untuk seketika, masa terasa terhenti. Fikirannya kosong sementara ketegangan dalam tubuhnya perlahan-lahan reda.
Sebuah cerek berisi air terletak di sisi. Dia minum, kemudian mengeluarkan bangkai hering dari uncangnya, tidak menghiraukan lagi bunyi di luar.
Dia merobek daging burung itu dan menelannya sedikit demi sedikit.
Pahit.
Dia terus makan, memaksa daging masuk ke perut. Perutnya berbunyi ketika menerima makanan itu. Hanya selepas hering tersebut habis dimakan, dia menarik nafas panjang dan memejamkan mata.
Seluruh tubuhnya sengal keletihan. Namun, genggamannya pada pencucuk besi tidak longgar. Seperti serigala yang bersendirian, dia bersedia terjaga pada gangguan yang sekecil-kecilnya.
Di luar, kegelapan menyelimuti kota dan memenuhi langit.
Dunia di bawah langit itu teramat luas. Benua Cenderawasih Selatan hanyalah satu daratan di tengah lautan yang terbentang. Tiada siapa benar-benar mengetahui batas dunia. Tetapi di mana-mana pun seseorang mendongak, wajah yang tidak utuh itu tetap kelihatan.
Tiada siapa dapat memastikan bila wajah tersebut mula muncul.
Catatan-catatan purba hanya menyebut bahawa hal itu berlaku terlalu lama dahulu. Pada masa sebelumnya, dunia dilimpahi tenaga kaum abadi. Kehidupan berkembang, dan kemakmuran memenuhi bumi.
Sehinggalah wajah raksasa itu datang dari kehampaan, membaham dan memusnahkan.
Segala yang hidup pernah bersatu untuk menentangnya.
Mereka gagal.
Akhirnya, sebilangan kecil Maharaja Purba dan Penguasa Agung membawa rakyat masing-masing meninggalkan dunia itu dalam suatu penghijrahan besar.
Tidak lama setelah wajah tersebut tergantung di langit, bermulalah suatu mimpi ngeri.
Pancarannya memenuhi dunia. Gunung, laut dan segala makhluk tercemar. Bahkan daya roh yang digunakan para pendekar untuk menempa diri turut dicemari.
Kehidupan layu. Manusia binasa tidak terhitung banyaknya. Hampir segala-galanya mati.
Segelintir yang terselamat mendongak ke arah separuh wajah itu lalu menamakannya dewa. Dunia tempat mereka hidup pula disebut Alam Bala. Tempat tujuan penghijrahan Maharaja Purba dan Penguasa Agung dikenali sebagai Tanah Suci.
Zaman berganti zaman. Nama-nama itu diwarisi turun-temurun.
Namun, malapetaka yang dibawa dewa itu tidak berhenti di situ.
Sekali-sekala, dewa tersebut akan membuka mata. Ada kalanya selepas sepuluh tahun. Ada kalanya selepas seratus tahun. Matanya terbuka hanya untuk seketika.
Tempat yang dipandang akan dicemari pancarannya.
Segala yang hidup di situ ditimpa bencana. Selepas itu, tempat tersebut menjadi wilayah larangan untuk selama-lamanya. Tahun demi tahun, wilayah larangan semakin bertambah, sedangkan tanah yang masih boleh dihuni semakin mengecil.
Sembilan hari yang lalu, mata dewa itu terbuka dan memandang ke tempat budak tersebut tinggal.
Puluhan kota manusia berada di situ, bersama kehidupan yang tidak terhitung banyaknya. Semuanya tercemar, termasuk kawasan pondok miskin di luar kota, lalu berubah menjadi wilayah larangan.
Ada makhluk yang terus meletup menjadi kabus darah. Ada yang berubah menjadi binatang buas tanpa akal. Ada pula yang kehilangan roh, meninggalkan mayat hitam kehijauan.
Hanya sedikit manusia dan haiwan yang terselamat.
Budak itu salah seorang daripadanya.
Suatu suara meratap dalam gelap.
Apabila suara itu semakin menghampiri gua, matanya terbuka serta-merta. Dia mengangkat pencucuk besi, menghadap rekahan yang tersumbat.
Suara tersebut beredar di sekitar tempat persembunyiannya, kemudian menjauh.
Dia menghela nafas lega.
Keinginannya untuk tidur sudah hilang. Dia meraba-raba mencari uncang, lalu mengeluarkan sekeping bilah buluh.
Walaupun gelap, hujung jarinya dapat merasakan tulisan yang diukir pada permukaan buluh itu. Dia duduk tegak dan mula mengatur nafas mengikut kaedah yang tercatat di situ.
Nama budak itu Bayu.
Sejak kecil, dia menyambung hidup di kawasan pondok miskin di luar kota.
Sembilan hari yang lalu, ketika bencana turun, dia bersembunyi dalam celah batu. Orang lain ketakutan, tetapi dia mendongak ke arah dewa di langit, terus ke dalam mata yang sedang terbuka itu.
Anak mata dewa tersebut berbentuk palang bersilang.
Sebaik-baik melihatnya, ketakutan dalam hati Bayu lenyap.
Pada ketika itulah dia melihat cahaya ungu turun dari langit lalu jatuh di suatu tempat di bahagian timur laut kota.
Kemudian dia pengsan.
Apabila dia sedar, hanya dia yang masih hidup di kawasan pondok miskin itu.
Namun, dia tidak terus keluar menjelajah.
Dia tahu bahawa apabila dewa membuka mata, suatu wilayah larangan akan terbentuk. Hujan darah akan turun, mewujudkan sempadan di sekeliling kawasan tersebut. Orang di dalam tidak dapat keluar. Orang di luar pula tidak dapat masuk selagi pembentukan wilayah larangan belum selesai.
Pembentukan itu hanya selesai apabila hujan berhenti.
Bagi Bayu, yang membesar dalam kehidupan serba keras, bencana ini tidaklah begitu berbeza daripada kehidupan sebelumnya. Kawasan pondok miskin dipenuhi samseng, anjing liar dan wabak penyakit. Pada malam yang terlalu dingin, nyawanya boleh melayang begitu sahaja.
Untuk terus hidup pun, dia terpaksa berjuang setiap hari.
Asalkan masih bernyawa, yang lain boleh diketepikan.
Namun, hidupnya yang kasar itu pernah juga disentuh sedikit kebaikan.
Sekali-sekala, orang berilmu yang hidup melarat datang mengajar anak-anak di situ membaca. Bayu turut belajar.
Dia juga masih menyimpan beberapa ingatan tentang keluarganya. Tetapi semakin lama, semakin sukar ingatan itu dipertahankan. Dia berasa suatu hari nanti semuanya mungkin lenyap.
Sekurang-kurangnya, dia tahu bahawa dia bukan anak tanpa keluarga.
Dia mempunyai keluarga. Mereka cuma telah terpisah sejak lama dahulu.
Impian Bayu mudah sahaja: dia mahu terus hidup.
Kalau dia dapat bertahan, barangkali suatu hari nanti dia boleh menemukan mereka semula.
Oleh sebab dia terselamat daripada bencana itu, akhirnya dia memutuskan untuk memasuki kota dan mencari sesuatu yang dapat membantunya.
Ada dua tujuan.
Pertama, dia mahu mencari kediaman pembesar kota. Khabarnya, di situ tersimpan kaedah untuk menjadi kuat.
Kedua, dia mahu menemukan tempat cahaya ungu itu jatuh.
Kaedah untuk menjadi kuat itulah yang diidamkan oleh semua orang di kawasan pondok miskin. Mereka menyebutnya penempaan diri. Orang yang mengamalkannya dikenali sebagai pendekar.
Selain bertemu semula dengan keluarga, tiada apa-apa yang lebih diingini Bayu daripada menjadi seorang pendekar.
Pendekar bukan orang yang mudah ditemui. Sepanjang hidupnya di luar kota, hanya sekali dia pernah melihat seorang pendekar dari jauh, di dalam kota. Ada sesuatu pada orang seperti itu yang membuat orang lain menggigil apabila memandangnya.
Bayu pernah mendengar bahawa pembesar kota sendiri seorang pendekar. Begitu juga semua pengawalnya.
Lima hari yang lalu, ketika mencari-cari di dalam kota, akhirnya dia menemukan kediaman pembesar itu. Daripada mayat seseorang di situ, dia memperoleh bilah buluh yang kini berada di tangannya.
Pencarian itu hampir meragut nyawanya. Luka parah pada dada ialah akibatnya.
Namun, bilah buluh tersebut mengandungi rahsia penempaan diri yang sekian lama diidamkannya.
Bayu telah menghafal kandungannya dan mula berlatih.
Sebelum itu dia tidak tahu apa-apa tentang penempaan diri. Oleh itu, dia tidak dapat memastikan sama ada kaedah dalam bilah buluh tersebut benar-benar sahih. Mujurlah tulisannya mudah difahami. Latihannya bertumpu pada pembentukan gambaran dalam fikiran dan aturan pernafasan.
Dengan mengikuti aturannya satu demi satu, dia sudah mendapat sedikit hasil.
Kaedah itu bernama Petua Laut dan Gunung.
Pengamalnya perlu membayangkan gambar yang terukir pada bilah buluh, kemudian bernafas mengikut aturan yang ditetapkan.
Gambar itu aneh. Makhluk yang dilukiskan berkepala besar, bertubuh kecil dan berkaki satu. Seluruh tubuhnya hitam legam. Wajahnya bengis seperti hantu jahat.
Bayu tidak pernah melihat makhluk begitu. Tulisan pada bilah buluh menamakannya momok.
Tidak lama setelah dia membentuk gambaran itu dalam fikiran dan mengatur nafas, udara di sekelilingnya mula bergerak.
Aliran daya roh memasuki tubuhnya, meresap ke segenap bahagian. Kedinginan mencengkam hingga ke tulang. Dia terasa seolah-olah seluruh tubuhnya direndam dalam air ais.
Bayu takut akan kesejukan.
Namun, dia tidak berhenti.
Dia meneruskan latihan menurut aturan pada bilah buluh itu. Apabila selesai, peluh membasahi tubuhnya. Walaupun baru menghabiskan seekor hering, dia kembali berasa lapar.
Dia mengesat peluh lalu mengusap perut.
Sejak mengamalkan petua tersebut, dia lebih cepat lapar. Tetapi tubuhnya juga menjadi lebih tangkas, dan dia mampu menahan dingin dengan lebih baik.
Bayu memandang ke arah rekahan, seolah-olah pandangannya dapat menembusi sumbatan di situ hingga ke luar.
Malam masih pekat. Bunyi-bunyi yang mengerikan timbul tenggelam dalam kegelapan.
Dia sendiri tidak tahu mengapa dia terselamat daripada bencana itu.
Mungkin nasib.
Mungkin juga ada kaitannya dengan cahaya ungu tersebut.
Itulah sebabnya, sambil terus berlatih, dia telah mencari hingga ke bahagian timur laut kota. Namun, tempat cahaya itu jatuh masih belum ditemukan.
Sambil mendengar raungan di luar, Bayu teringat semula sosok yang dilihatnya tersandar pada tembok menjelang gelap tadi.
Sosok itu berada di bahagian timur laut kota.
Dan kulitnya benar-benar kelihatan seperti kulit orang hidup.
‘Mungkinkah dia ada kaitan dengan cahaya ungu itu?’
Simpan untuk bacaan luar talian Pilih simpan dalam aplikasi · Akaun disahkan diperlukan
