Tetapan Bacaan
Bab 2: Kampung Lembu Hijau
Orang menyebutnya Bandar Lembu Hijau, tetapi tempat itu sebenarnya cuma sebuah kampung besar. Nama yang lebih tepat ialah Kampung Lembu Hijau. Hanya penduduk kawasan pergunungan dan orang tempatan yang tidak pernah melihat dunia luar menganggapnya sebuah bandar.
Jati tahu akan hal itu pun kerana diberitahu oleh Tok Jalil. Orang tua itu sudah lebih sepuluh tahun bekerja sebagai penjaga pintu.
Kampung Lembu Hijau tidaklah luas. Jalan utamanya cuma satu, membelah kampung dari timur ke barat. Jalan itu dinamakan Jalan Lembu Hijau. Di hujung barat pula berdiri satu-satunya rumah tumpangan di situ. Bagi pedagang yang singgah dalam perjalanan, itulah tempat bermalam kalau tidak mahu tidur berbumbungkan langit.
Di bahagian barat kampung, hanya ada satu jalan yang boleh dilalui kereta kuda. Dari pintu masuk kampung, jalan itu melalui Rumah Tumpangan Lembu Hijau lalu terus ke Kedai Makan Harum Bunga. Selain rumah tumpangan tadi, kedai makan itulah tempat yang menjadi tumpuan orang.
Kedai Makan Harum Bunga tidak besar. Rupanya pun sudah ketinggalan zaman. Namun, ada sesuatu pada kedai itu yang membuatkan orang dalam perjalanan suka singgah. Setiap tengah hari, pelanggan datang berasak-asak hingga pekerjanya tidak menang tangan.
Pada hari itu, seorang lelaki berjanggut dan berwajah bulat turun dari sebuah kereta kuda. Bersamanya seorang budak berkulit perang, berbadan gempal, berumur sekitar sepuluh tahun. Kedua-duanya melangkah masuk ke kedai dengan gaya penuh yakin.
Pelanggan tetap kenal benar akan lelaki itu. Dialah pengurus kedai tersebut, yang biasa mereka panggil Darus Gemuk. Budak di sebelahnya sahaja yang belum pernah mereka lihat.
“Eh, Pak Darus! Budak hitam manis ini serupa benar dengan kau. Anak kau dengan pelacur yang kau tiduri dulu, ya?” usik seseorang.
Pecah ketawa seisi kedai.
“Ceh! Anak saudara aku ini! Ayahnya saudara kandung aku. Tentulah rupanya serupa!”
Bukannya marah, Darus Gemuk malah menjawab dengan bangga.
Mereka berdua itulah Jati dan Pak Darus. Tiga hari penuh mereka menempuh perjalanan tanpa rehat sebelum sampai ke kampung tersebut. Di sinilah Pak Darus lebih dikenali sebagai Darus Gemuk.
Setelah bertegur sapa dengan beberapa pelanggan tetap, Pak Darus membawa Jati ke bahagian belakang kedai. Mereka masuk ke sebuah halaman yang tersorok daripada kesibukan di hadapan.
“Jati, berehatlah di sini dahulu. Bila sampai masa ujian kemasukan murid dalaman nanti, pak cik panggil. Sekarang pak cik kena layan pelanggan di depan.”
Dia menunjuk ke sebuah bilik di sisi halaman, lalu memberi isyarat dengan ramah supaya Jati masuk.
Selesai berpesan, Pak Darus berpaling dan bergegas kembali ke kedai. Tetapi setibanya di pintu, tiba-tiba dia berasa kurang sedap hati. Dia menoleh semula.
“Jangan merayau. Nanti sesat dalam kampung ini. Duduk dalam halaman sahaja, ya?”
“Ya, pak cik.”
Mendengar jawapan yang lurus itu, Pak Darus mengangguk lega lalu keluar.
Sebaik sahaja bapa saudaranya pergi, barulah Jati terasa betapa letih tubuhnya. Kepalanya baru menyentuh bantal, dia sudah lena berdengkur. Pelik juga, langsung tidak kelihatan rasa takut yang biasa menghinggapi budak apabila ditinggalkan seorang diri di tempat asing.
Malam itu, seorang pekerja datang membawa makanan. Hidangannya tidak mewah, tetapi sedap. Selepas Jati selesai makan, ketika pekerja itu sedang mengangkat pinggan mangkuk, Pak Darus masuk dengan langkah santai.
“Macam mana? Sedap makanannya? Rindu rumah?”
“Ya… rindu,” jawab Jati dengan suara kebudak-budakannya.
Pak Darus kelihatan puas hati mendengar jawapan itu. Dia mula bercerita tentang kehidupan sehariannya, diselang-seli kisah pengalamannya sendiri yang dibanggakan bukan main lagi. Lama-kelamaan, hilang rasa segan Jati. Dia mula ketawa dan berbual mesra dengan bapa saudaranya.
Begitulah dua hari berlalu dengan cepat.
Pada hari ketiga, selepas makan malam, Jati menunggu Pak Darus datang membawa cerita dunia persilatan lagi. Ketika itulah sebuah kereta kuda berhenti di hadapan kedai.
Kereta itu dicat hitam berkilat. Kuda yang menariknya pula berbulu keemasan, jarang benar dilihat orang. Namun, yang paling menarik perhatian ialah panji hitam pada rangka kereta. Di atasnya tertera sebuah segi tiga merah, dengan perkataan “RAHSIA” berwarna perak di tengah-tengahnya. Lambang itu membawa wibawa yang sukar ditafsirkan.
Sesiapa yang mahir dalam dunia persilatan setempat tentu mengenali panji tersebut. Kereta itu milik Perguruan Tujuh Rahsia, salah satu daripada dua kuasa besar di daerah itu.
Nampaknya, seorang tetamu penting telah tiba di Kampung Lembu Hijau.
Perguruan Tujuh Rahsia dahulu dikenali sebagai Perguruan Tujuh Puncak. Dua ratus tahun sebelumnya, perguruan itu diasaskan oleh seorang mahaguru persilatan yang amat termasyhur, bergelar Pendekar Tujuh Puncak.
Selama beberapa dasawarsa, pendekar itu menguasai dunia persilatan di Wilayah Jernam dan Wilayah Sembara yang berjiran dengannya. Namanya digeruni di merata-rata tempat. Tetapi setelah dia jatuh sakit, kekuatan perguruannya merosot teruk. Pengaruh yang dahulunya begitu luas semakin menyusut.
Akhirnya, perguruan-perguruan saingan bergabung tenaga lalu mengusir Perguruan Tujuh Rahsia dari kota utama Wilayah Jernam.
Seratus tahun yang lalu, mereka terpaksa berpindah ke Gunung Pelangi Kayangan, jauh di kawasan terpencil. Di daerah yang tidak dipandang orang itulah mereka membina semula kedudukan, sehingga menjadi salah satu kuasa yang disegani di situ.
Gajah yang kurus pun masih lebih besar daripada kerbau.
Perguruan Tujuh Rahsia pernah menjadi sebuah perguruan besar. Walaupun sudah merosot, masih banyak kekuatan yang tersimpan padanya. Sebaik bertapak di Gunung Pelangi Kayangan, mereka segera menguasai kira-kira sedozen pekan dan kampung, termasuk Kampung Lembu Hijau. Dengan sekitar empat ribu orang murid, kedudukan mereka sebagai salah satu daripada dua kuasa utama daerah itu tidak dapat dipertikaikan.
Hanya satu pertubuhan setempat yang mampu menandingi mereka: Gerombolan Serigala Liar.
Asalnya, gerombolan itu ialah sekumpulan penyamun berkuda dari Wilayah Jernam. Membakar, membunuh, merompak dan menjarah sudah menjadi kebiasaan mereka. Kemudian, angkatan tentera yang dihantar oleh istana maharaja mengepung dan menggempur mereka dengan hebat.
Sebahagian penyamun menerima pengampunan daripada istana. Yang selebihnya menghimpunkan diri semula lalu membentuk Gerombolan Serigala Liar.
Nama sahaja berubah. Mereka tetap kejam dan dahagakan darah, tidak teragak-agak melakukan kekejaman seperti dahulu. Sikap itulah yang menyebabkan Perguruan Tujuh Rahsia berada dalam keadaan serba terdesak setiap kali kedua-duanya bertembung.
Gerombolan Serigala Liar menguasai lebih banyak kampung. Namun, mereka tidak tahu mengurus kawasan taklukan dengan baik untuk mengembangkan perniagaan dan menambah pendapatan. Sebaliknya, kampung-kampung di bawah Perguruan Tujuh Rahsia jauh lebih makmur.
Kemakmuran itu menimbulkan iri hati. Gerombolan Serigala Liar mula merancang untuk merampas wilayah lawannya, lalu tercetuslah persengketaan panjang antara kedua-dua kuasa tersebut.
Ketua Perguruan Tujuh Rahsia yang sekarang tidak putus-putus pening memikirkannya. Ancaman gerombolan itulah juga yang menyebabkan perguruan menambah pengambilan murid sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dari kereta hitam tadi, seorang lelaki kurus berumur empat puluh tahun melompat turun. Gerakannya begitu tangkas, cukup untuk memperlihatkan bahawa dia seorang ahli persilatan yang hebat. Nampaknya dia sudah biasa benar dengan kedai Pak Darus. Tanpa teragak-agak, dia melangkah dengan angkuh menuju ke bilik tempat Jati menginap.
Sebaik terpandang lelaki itu, Pak Darus segera menyambutnya dengan penuh hormat.
“Pelindung Sura! Mengapa tuan sendiri bersusah payah datang?”
“Hmph!”
Pelindung Sura mendengus dingin.
“Jalan di sekitar sini tidak aman kebelakangan ini. Kawalan perlu diperketat. Sebab itulah para tetua menyuruh aku datang sendiri. Sudahlah, tak usah banyak cakap. Inikah budak yang hendak kau calonkan?”
“Ya, ya. Inilah anak saudara saya. Harap tuan dapat menjaga dia.”
Melihat wajah Pelindung Sura yang tidak sabar, Pak Darus segera mengeluarkan sebuah uncang yang kelihatan berat. Dengan diam-diam, dia menyerahkannya kepada lelaki itu.
Pelindung Sura menimang uncang tersebut, mengagak beratnya. Wajahnya yang masam tadi mula kendur.
“Darus Gemuk, kau memang tahu membawa diri. Dalam perjalanan pulang nanti, aku akan pastikan segala keperluan anak saudara kau dijaga. Hari pun sudah lewat. Baik kita segera berangkat.”

Ulasan pembaca
Log masuk dan sahkan e-mel untuk mengulas.